MERENANG GELORA
(Ruslan bin
Ngah)
Sinopsis Bab
Bab 1 – Tugas Baharu
Badri anak sulong daripada dua orang adik beradik mula bertugas sebagai
seorang pengawas sekolah Adiknya bernama Badrul. Beliau seorang yang tegas dan
berdisiplin. Bercita-cita ingin menjadi pemimpin pada masa hadapan. Jamil
merupakan kawan baik kepada Badri, manakala Shahrul seorang murid yang
nakal, Siti Cahaya Nadira seorang murid baharu yang cantik menjadi rebutan
murid-murid lelaki di sekolah tersebut. Jamil dicabar oleh Badri dan sebaliknya
untuk mendapatkan Siti Cahaya Nadira.
Bab 2 – Api Yang Mula
Membara
Jamil mengajak Badri melepak di Mastika Mall tetapi ditolak. Mereka berbeza
dari segi soal prinsip kehidupan. Meng Kong anak tauke kedai telefon selalu
dikerumuni oleh murid-murid lain. Badri telah disimbah air semasa berada di
dalam tandas. Peristiwa itu menjadi heboh di kantin. Nadira menyindirnya. Cikgu
Jailani menyiasat kes tersebut. Badri dibenarkan balik ke rumah lebih awal
kerana keadaan bajunya yang basah dan berbau. Selepas itu Badri pergi ke
perpustakaan untuk menenangkan jiwa dan berjalan-jalan tetapi terserempat
dengan Shahrul yang menunggang motosikal dengan Nadira. Badri telah pergi ke
rumah Pak Alang dan agak terkejut kerana terserempat dengan Nadira di sana. Pak
Alang memperkenalkan Nadira sebagai anak buahnya dari Kedah.
Bab 3 – Main Api
Badri dapat mengenali murid yang ada di dalam tandas semasa dia disimbah
air berdasarkan tanda lahir yang terdapat di leher murid tersebut. Kumar
ditangkap dan dibawa kepada Cikgu Jailani , iaitu guru disiplin. Kumar
ditangkap kerana turut membawa telefon bimbit. Ah Chun dan Selva , rakan
sekelas Badri yang menyuruh Kumar, Meng Kong dan Shahrul menjual kad prabayar
kepada murid-murid di sekolahnya. Kumar telah memberitahu Jamil agar Badri
tidak memerhatikan Meng Kong lagi. Nadira memberi amaran agar Badri tidak
melaporkan apa-apa kepada Mak Alang. Badri digelar sebagai pelapor. Badri
dimalukan dengan dijatuhkan apabila dirempuh dengan kuat oleh Bob dan disindir
oleh Kumar serta ditertawakan oleh Nadira. Semasa di dalam bas, dia mendapat
nota untuk datang ke pasar raya pada petang itu. Dia ke pasar raya itu dan
bertemu dengan Siew Mei yang belum pernah dikenalinya sebelum ini.
Bab 4 – Duri Dalam
Daging
Kumar bertemu dengan Meng Kong dan Shahrul di pusat boling. Beliau
bercerita dan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap Badri kerana telah
ditangkap oleh Badri dan telefonnya dirampas. Kumar masih berdendam dengan
Badri.
Bab 5 -
Pertemuan
Badri berjumpa dengan Jamil dan bertanya adakah dia juga terlibat dalam
kegiatan menjual kad prabayar. Semua rahsia itu diceritakan oleh Siew Mei
setelah diberitahu oleh abangnya yang bekerja di kedai telefon ayah Meng Kong,
iaitu Encik Tan. Hal ini kerana kerap berlaku kehilangan kad prabayar dan telefon
di kedai Encik Tan. Badri pula melakukan sesuatu untuk menyelamatkan
Nadira dari terus berkawan dengan Shahrul. Kemungkinan Shahrul turut terlibat
dengan aktiviti tidak bermoral.
Bab 6 – Kemuncak
Dunia
Nadira dimarahi oleh Nurul Ain, iaitu kakaknya kerana berpakaian sendat
untuk keluar pada Sabtu pagi. Nadira menunggu Shahrul dalam keadaan marah
kerana selalu lewat, tetapi sering terpujuk oleh kata-kata manis Shahrul.
Nadira marah kepada Badri kerana menegurnya berkawan dengan Shahrul. Nadira
mengikut Shahrul bersiar-siar dengan menunggang motosikal. Shahrul bertemu
dengan rakannya, mat motor yang selalu berlumba haram. Nadira tidak senang
dengan Aziz iaitu salah seorang kawan dalam kumpulan mat motor Shahrul. Mereka
telah diserbu oleh anggota polis tetapi Shahrul, Aziz dan rakan-rakannya dapat
melarikan diri. Nadira terperangkap kerana ditinggalkan oleh Shahrul. Akhirnya,
Nadira ditangkap dan dihantar pulang ke rumahnya oleh pihak polis. Pihak polis
menerangkan bahawa Nadira telah berkawan dengan mat rempit yang diburu oleh
pihak polis. Ada kalangan mereka yang terlibat dengan jenayah. Nadira dimarahi
kakaknya.
Bab 7 – Secantik
Sinar
Jamil menjauhi diri daripada Badri. Taufik kawan sekelas Badri ingin
mengetahui masalahnya. Badri menyembunyikannya dan memarahinya kerana bersikap
menjaga tepi kain orang lain. Taufik memberitahu kejadian yang menimpa Nadira
dan Shahrul. Nadira telah ditangkap dan disoal oleh pihak polis. Hal ini telah
diketahui oleh pengetua dan menyebabkan Nadira dipanggil untuk menceritakan
situasi sebenar kejadian tersebut. Nadira berjumpa dengan badri di
perpustakaan untuk meminta maaf atas kesalahannya terhadap Badri. Nadira
menyatakan hasratnya ingin berkawan dengan Badri tetapi Badri serba salah dan
malu. Pertemuan dengan Shahrul membuatkan Nadira amat marah kepada Shahrul.
Badri dicabar oleh Shahrul.
Bab 8 – Mengharung
Badai
Jamil menceritakan kepada Badri yang dia telah dituduh mencuri telefon
bimbit di kedai ayah Meng Kong. Nasibnya baik kerana bapa Meng Kong tidak
membuat laporan kepada pihak polis dan sekolah. Dia tidak dapat membela diri.
Badri bersyukur kerana Jamil sudah insaf atas perbuatannya. Nadira masih
berharap Badri tidak masuk campur urusan Meng Kong dan kawan-kawannya, tetapi
Badri masih tekad menyelongkar kebenarannya. Siew Mei mengajak Badri berjumpa
di bengkel dan menasihati Badri tentang pergaduhannya dengan Shahrul kerana
Nadira. Siew Mei meminta Badri membimbing Nadira . Akhirnya Badri bertanya
kepada Siew Mei mengapa dia mengambil berat tentangnya. Siew hanya menutup
mulut dan lari tergesa-gesa kerana malu.
Bab 9 – Rahsia Hampir
Terbongkar
Badri mengintip perbualan Kumar, Meng Kong dan Shahrul tentang rancangan
mereka untuk terus menjual telefon bimbit dan kad prabayar ketika sedang
berjoging di tasik. Mereka agak risau jika Jamil membongkar kegiatan mereka
itu. Mereka telah disergah oleh Badri. Shahrul menyerang Badri tetapi dapat
dielak kerana Badri mahir dalam ilmu persilatan.
Bab 10 – Semarak Api
Shahrul tidak selesa tinggal di rumah teres walaupun sudah tiga tahun
mendiaminya. Dia masih lagi rindu akan rumah lamanya yang besar dan mewah itu.
Rakan-rakan Shahrul sering menganggapnya daripada golongan yang berada, namun
sebaliknya. Dia telah dipanggil oleh Cikgu Jailani kerana menyerang Badri.
Apabila Shahrul bertemu dengan Badri yang sedang makan bersama-sama Nadira,
hatinya marah dan dia cuba mengungkit rancangan mereka dahulu untuk
mengenakan Badri. Tujuannya adalah untuk memisahkan Badri dengan Nadira.
Suatu hari, Shahrul dan Kumar memungut hutang daripada Amir yang membeli
telefon tetapi dibayar separuh sahaja kerana emaknya tidak membenarkan dia
membelinya dan meminta dipulangkan kembali. Apabila Amir memulangkan telefon
itu kepada Shahrul, telefon tersebut telah jatuh dan dilihat oleh Cikgu Jailani.
Amir dibawa ke bilik guru. Amir telah diugut oleh Shahrul dan Kumar agar tidak
menceritakan hal sebenar kepada Cikgu Jailani, sebagai balasan hutang Amir akan
dihapuskan. Amir telah berbohong kepada Cikgu Jailani untuk menutup
rahsia daripada siapa dia membeli telefon itu agar hutangnya lupus.
Bab 11 – Tertangkap
Meng Kong ke kedai ayahnya untuk mendapatkan bekalan telefon di dalam stor
tanpa menyedari stor tersebut telah dipasang dengan system CCTV. Dia
berpura-pura menunggu Ah Meng. Telefon itu diserahkan kepada Kumar agar tidak
dikesan oleh bapanya. Ah Meng telah memainkan semula rakaman CCTV tersebut
dihadapan Encik Tan. Encik Tan telah melihat Meng Kong mengambil empat telefon
bimbit dari stor itu. Apabila Meng Kong balik dia disuruh berjumpa dengan
ayahnya. Ayahnya telah menunjukkan rakaman CCTV kepada Meng Kong lalu Meng Kong
meminta maaf dan berharap dia dimaafkan tetapi ayahnya telah menghukumnya
dengan menyuruhnya tinggal di asrama sekolah serta meminta maaf daripada
pengetua sekolah iaitu Encik Baharom. Akhirnya, mereka bertiga, Shahrul, Meng
Kong dan Kumar tertangkap dan dikenakan hukuman tiga sebatan setiap orang. Meng
Kong ditempatkan di asrama. Badri meminta Taufik memerhatikan Meng Kong.
Bab 12 – Suasana
Baharu
Meng Kong mengikuti rutin jadual di asrama walaupun dia berasa kekok,
tetapi atas keramahan Taufik dan Saiful, dia cuba menyesuaikan diri. Dia berasa
lega kerana tiada orang bertanya sebab dia tinggal di asrama. Meng Kong mula
belajar dan membuat kerja sekolahnya mengikut masa dan jadual. Dia
menceritakan pengalamannya buat kali pertama dapat menyiapkan kerja rumah
kepada Shahrul dan Kumar. Mereka tidak berpuas hati dengan perubahan Meng Kong
yang tidak mahu menjual telefon lagi kerana Meng Kong takut dihantar untuk
tinggal dengan datuknya yang garang. Shahrul dan Kumar masih mengajak Meng Kong
meneruskan usahanya, tetapi Meng Kong tetap menolak. Berlaku pertengkaran
antara mereka dan Badri datang meleraikan pertengkaran tersebut dengan membawa
mereka berjumpa Cikgu Jailani. Mereka dirotan atas kesalahan tersebut.
Bab 13 – Jiwa Remaja
Badri bersiap-siap dengan kemas untuk keluar berjumpa dengan Nadira. Badri
diusik oleh Badrul yang menyatakan abangnya mempunyai dua orang buah hati
kepada emaknya. Nadira menelefon Badri dan bertanya tentang kelewatannya.
Badri akhirnya datang untuk melihat pementasan teater tersebut. Nadira
berasa cemburu apabila mengetahui hubungan Badri dengan Siew Mei. Nadira
mengelamun semasa pementasan itu dan disedari oleh Badri. Setelah pulang
ke rumah Badri dimaklumkan oleh Badrul bahawa Jamil datang mencarinya.
Badri menelefon Jamil dan berbual-bual melalui telefon. Mereka berjanji untuk
bertemu keesokan harinya namun apabila Badri pergi mencarinya tetapi dia tiada
di rumah. Jamil hilang tanpa dapat dikesan walaupun dia telah bertanya
kepada ibu bapa Jamil serta Taufik dan Kumar. Badri menemui Kumar yang
sedang memasukkan rokok ke dalam beg Meng Kong atas arahan Shahrul supaya
Meng Kong dibuang asrama. Kumar mengikut sahaja arahan Shahrul kerana
takut dikasari oleh Sahrul.
Bab 14 – Di
Persimpangan
Kumar insaf perbuatannya lalu mengelak diri daripada dihasut oleh Shahrul
yang memyebabkan dia terikut-ikut dengan gaya mewah Sahrul. Shahrul tetap
bertegas untuk memastikan Kumar masih mahu menjadi ahli kumpulannya dan tidak
membocorkan rahsia mereka apabila Jamil dan Meng Kong tidak lagi terlibat
dalam kumpulan mereka. Shahrul tetap memujuk Kumar mengikutnya untuk membalas
dendam terhadap Badri.
Bab 15 – Kehilangan
Yang Misteri
Kehilangan Jamil menjadi misteri. Walau bagaimanapun, Badri tidak dapat
melupakan sahabatnya itu. Kini Badri sudah berkawan baik dengan Kumar.
Badri dikejutkan dengan berita di akhbar yang dibaca oleh Siew Mei tentang
kematian Amran iaitu kawan Jamil yang mati ditembak kerana terlibat dengan kes
jenayah dan dadah. Badri risau sekiranya Jamil turut terlibat dalam kes
jenayah tersebut.
Bab 16 – Tersayat
Pedih
Shahrul ketakutan mendengar berita kematian Amran dan mengurung
diri serta mencari jalan untuk mendekati Nadira semula sebagai sahabat. Shahrul
mula merasakan kehilangan rakan-rakannya dan mula bergaul dengan rakan-rakan
yang lebih dewasa. Apabila melihat Badrul, Shahrul ingin membalas dendam
terhadap Badri dengan mengupah Din memukul Badrul iaitu adik Badri. Din tidak
mahu terlibat dan hal ini menyebabkan Shahrul marah lalu memecut motosikalnya
menyebabkan dia terjatuh. Badrul dan kawan-kawannya menolong menghantar Shahrul
ke hospital. Persahabatan Kumar dengan Badri menyebabkan Siew Mei
tidak berpuas hati. Apabila berjumpa Badri, Kumar menceritakan niat sebenar
Shahrul melalui maklumat yang diperoleh melalui Din tetapi Nadira curiga dengan
kata-kata Kumar, sebaliknya Siew Mei tidak bersetuju dengan pendapat Nadira
yang menyatakan Shahrul telah berubah.
Bab 17 – Mangsa Fitnah
Badri banyak menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran dengan Kumar. Namun
begitu Badri kesal dengan sikap Siew Mei yang tidak semesra sebelum ini. Kumar
menyatakan ada perasaan cemburu antara Siew Mei dengan Nadira yang ingin
merebut hati Badri. Untuk menghindari perasaan tersebut Badri lebih banyak
menghabiskan masa mengulangkaji dengan Kumar. Badri telah difitnah
membawa telefon bimbit ke sekolah apabila Cikgu Jailani menemui telefon
tersebut di dalam begnya. Badri dibawa oleh Cikgu Jailani ke bilik disiplin.
Taufik menyatakan Shahrul telah menyuruh Kumar melakukannya. Badri terkilan
kerana Nadira tidak menyokongnya sebaliknya menyalahkannya juga. Berita negatif
tersebut masih tersebar walaupun Cikgu Jailani mendapati Badri tidak bersalah.
Badri juga disindir oleh Shahrul. Semua rakan menjauhkan diri daripadanya
kecuali Siew Mei dan Taufik.
Bab 18 – Pentas
Sandiwara
Badri dan Taufik mendengar perbualan Shahrul dan Kumar. Mereka mendapati
Shahrul telah mengarahkan Kumar meletakkan telefon bimbit ke dalam beg Badri
tetapi Kumar tidak mematuhi arahan tersebut. Hal ini menyebabkan Shahrul berasa
marah. Pertengkaran antara Shahrul dan Kumar telah dilihat oleh Lokman dan
Badri. Mereka dibawa ke bilik pengawas oleh Lokman, iaitu ketua pengawas. Badri
diberi semangat oleh Taufik dan Lokman berkenaan fitnah yang ditabur kepadanya.
Bab 19 – Cerita
Baharu
Meng Kong berjumpa dengan Badri, Taufik dan Siew Mei di kantin. Mereka
bersimpati dengan nasib Badri. Badri menyatakan bahawa Kumar tidak
terlibat dalam hal tersebut. Mereka berbincang tentang sikap Shahrul yang tidak
serik dengan kejadian yang telah berlaku kerana ibu bapanya tetap
menyokongnya walaupun Cikgu Jailani pernah ke rumah Shahrul memberitahu sikap
Shahrul kepadanya.
Bab 20 – Hati Yang
Terluka
Hubungan Nadira dan Shahrul kembali mesra. Hal Ini menimbulkan
sedikit rasa cemburu di hati Badri. Semasa mengelamun, Badri tersalah menyebut
nama Nadira kepada Siew Mei menyebabkan Siew Mei agak berkecil hati. Doa Badri
agar dia ditemukan dengan Nadira untuk mengetahui pandangan Nadira terhadapnya.
Akhirnya dia bertemu dengan Nadira yang ditemani Shahrul di rumah Pak Alangnya.
Badri menyatakan kesalahan Shahrul telah dikesan oleh Cikgu Jailani menyebabkan
Shahrul berasa bimbang. Badri menyindir sikap Nadira.
Bab 21 – Harapan
Shahrul terlibat dalam kemalangan selepas balik dari rumah Pak Alang
Nadira. Shahrul menduduki SPM di hospital. Kesan daripada kemalangan tersebut,
kaki Shahrul tempang sebelah. Badri meminta maaf kepada Siew Mei akan sikapnya
tempoh hari. Badri menyatakan cita-citanya untuk berjaya dalam Sijil Pelajaran
Malaysia bukan untuk mengejar cinta. Hal ini disokong oleh Siew Mei. Badri,
Taufik dan Siew Mei sama-sama belajar untuk menduduki SPM dan berjaya menjawab
soalan dengan baik. Selepas tamat peperiksaan, mereka sama-sama berbincang
tentang cara untuk menghabiskan masa cuti mereka. Taufik akan mengikut Badri
berkerja di resort bapa saudara Badri. Badri dan Siew Mei
berjaya mendapat 9A dalam SPM. Taufik pula mendapat 7A. Selepas mendapat keputusan,
Badri bergegas pergi membeli tiket untuk balik bekerja semula. Badri
telah memohon kemasukan ke universiti.
Tema
Novel ini bertemakan cabaran dan tanggungjawab
seorang pelajar dalam menjalankan tugas sebagai seorang pengawas. Tema
ini dijelmakan melalui watak utama, Badri yang menempuh pelbagai cabaran
sepanjang menjalankan tugas sebagai pengawas sekolah yang belum pernah
disandang sejak zaman persekolahannya.
Persoalan
i.
Ibu bapa yang mementingkan kerjaya menyebabkan anak-anak terlibat dalam gejala
sosial.
Contoh: Shahrul yang kurang mendapat perhatian
daripada ibu bapanya telah terlibat dalam masalah disiplin sekolah dan
bercampur dengan kumpulan motor.
ii.
Kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Contoh: Encik Tan memohon kepada pengetua
supaya Meng Kong ditempatkan di asrama sekolah supaya anaknya berdisiplin
dan berjaya dalam peperiksaan.
iii.
Hasad dengki dalam persahabatan.
Contoh: Shahrul mengarahkan Kumar memasukkan dua
kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong supaya Meng Kong dibuang dari asrama.
iv. Tanggungjawab
terhadap tugas.
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas terus
merujuk Cikgu Jailani sekiranya pelajar terlibat dalam kes disiplin walaupun
melibatkan kawannya sendiri Jamil.
v.
Semangat kerjasama dalam menyelesaikan masalah.
Contoh: Siew Mei memberikan maklumat kepada Badri
tentang penglibatan Shahrul dan rakan-rakannya dalam penjualan telefon bimbit
secara ansuran kepada pelajar di sekolahnya.
vi.
Sikap gigih golongan pelajar untuk mendapatkan kejayaan dalam peperiksaan.
Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik mengadakan
belajar berkumpulan dan akhirnya berjaya memperoleh keputusan 9A dan 7A dalam
Sijil Pelajaran Malaysia.
vii.
Buruk sangka dalam kalangan pelajar.
Contoh: Shahrul, Kumar, Jamil dan Meng Kong
bersangka buruk terhadap Badri sehingga menyimbahkan air ketika Badri berada di
dalam tandas sekolah.
viii.
Gejala lumba haram dalam kalangan remaja.
Contoh: Shahrul dan Aziz terlibat dalam perlumbaan haram
sehingga hampir ditangkap oleh pihak polis.
ix.
Berdikari untuk mendapatkan pengalaman bekerja.
Contoh: Badri dan Taufik bekerja sambilan di resort
bapa saudara Badri sementara menunggu keputusan SPM.
x.
Perpaduan kaum.
Contoh: Badri, Siew Mei,Taufik dan Kumar belajar
bersama-sama walaupun mereka berlainan agama dan bangsa.
Plot
i. Permulaan
· Pengarang memperkenalkan watak utama, Badri yang baru
menyandang jawatan pengawas sekolah.
· Pada bahagian ini juga diperkenalkan watak Badrul
iaitu adik kepada Badri yang cuba mengusik abangnya tentang jawatan pengawas
yang baru disandang abangnya. Badri merasakan tanggungjawab menjadi pengawas
sekolah merupakan tanggungjawab yang berat yang harus digalasnya.
· Pada bahagian ini diperkenalkan watak Jamil yang
merupakan rakan baik Badri tetapi mereka berbeza dari segi prinsip hidup.
· Kehadiran seorang pelajar baru Siti Cahaya Nadira
menjadi satu perselisihan pendapat tentang personaliti Nadira antara Badri dan
Jamil tetapi berakhir dengan perdamaian.
ii. Perkembangan
· Peristiwa Badri disiram air ketika berada di dalam
tandas tidak melemahkan semangatnya untuk berusaha mencari pelakunya dan
akhirnya pelajar yang terbabit dapat ditangkap dan diserahkan kepada guru
disiplin.
· Siew Mei menceritakan kegiatan negatif Meng Kong
menjual telefon bimbit dan kad prabayar yang dicuri dari kedai ayah Meng Kong
kepada pelajar sekolah. Jamil turut terlibat dalam kegiatan tersebut.
· Hubungan Badri dengan Jamil semakin renggang kerana
Jamil merahsiakan tentang kegiatan penjualan telefon bimbit kepada Badri.
· Shahrul dan rakan-rakan lumba haram telah diserbu
oleh pihak polis ketika Shahrul keluar dengan Nadira.
· Idham, abang kepada Jamil diberhentikan kerja oleh
Encik Tan kerana Meng Kong menuduh Idham mencuri telefon bimbit di kedai
bapanya.
· Masalah kecurian telefon bimbit telah dapat dikesan
melalui CCTV yang dipasang di kedai dan di stor milik Encik Tan oleh abang Siew
Mei iaitu Ah Meng.
· Jamil menghilangkan diri tanpa dapat dijejaki oleh
Badri kerana keluarga Jamil merahsiakan keberadaan Jamil.
· Meng Kong berjaya ditempatkan di asrama dan telah
berubah sikap begitu juga dengan Kumar yang telah insaf dengan kesalahan yang
dilakukannya.
· Badri, Siew Mei, Taufik, Nadira dan Kumar telah
menduduki peperiksaan SPM manakala Sahrul mengambil peperiksaan di hospital
akibat kemalangan.
· Badri dan Siew Mei mendapat 9A manakala Taufik
memperoleh 7A dalam peperiksaan SPM.
· Encik Tan, bapa Meng Kong berjumpa pengetua untuk
menyelesaikan masalah telefon bimbit yang telah dirampas oleh pihak sekolah.
Beliau juga memohon agar anaknya ditempatkan di asrama sekolah agar anaknya
berdisiplin dan memberikan tumpuan terhadap pelajaran.
· Encik Tan meminta maaf kerana anaknya telah
menyusahkan murid-murid dan guru-guru di sekolah tersebut. Encik Tan juga
meminta anaknya, Meng Kong agar memohon maaf kepada pengetua atas kesalahan
yang dilakukan.
iii. Klimaks
· Meng Kong, Shahrul dan Kumar dipanggil ke bilik
pengetua dan dikenakan hukuman rotan sebanyak tiga sebatan setiap seorang.
· Kumar ditangkap oleh Badri dan Taufik ketika cuba
memasukkan dua kotak rokok ke dalam beg sekolah Meng Kong. Tujuannya adalah
supaya Meng Kong dibuang dari asrama.
· Peristiwa mengejutkan telah berlaku apabila cikgu
Jailani menemui telefon bimbit di dalam beg Badri.
· Shahrul terlibat dalam kemalangan jalan raya
mengakibatkan kakinya tempang sebelah.
iv. Peleraian
· Badri melanjutkan pelajaran di Ireland dalam bidang
perubatan dan akan bertugas sebagai doktor di Hospital Besar Kuala Lumpur.
· Jamil melanjutkan pelajaran dalam bidang hotel dan
pelancongan di UiTM.
· Taufik mendapat ijazah dalam bidang perniagaan.
· Jamil dan Taufik berkongsi membuka resort di
Terengganu.
· Shahrul dan Kumar melanjutkan pelajaran di Politeknik
dalam jurusan kemahiran memperbaiki kereta sehingga berjaya membuka beberapa
cawangan bengkel kereta di Kuala Lumpur.
· Shahrul telah berkahwin dengan Nadira. Nadira berjaya
membuka sebuah butik setelah memperoleh kelulusan diploma fesyen di UiTM.
· Siew Mei berjaya menjadi seorang doktor gigi.
· Badri dan rakan-rakannya berjaya merenang gelora
dalam kehidupan mereka dan berharap berjaya merenang gelora yang akan
mendatang.
Teknik
Penceritaan
i.
Pemerian
Contoh: Badri tidak mengendahkan usikan adiknya. Dia
menyuap nasi lemak dan mengunyahnya perlahan-lahan.
ii.
Dialog
Contoh: ”Kalau Badrul buat salah, abang jangan tangkap”,
usik Badrul lagi.
iii.
Imbas kembali
Contoh: Jamil menjelaskan kehilangannya dari sekolah kerana
telah berpindah ke Sarawak ketika bertemu semula dengan Badri di resort
kepunyaan Jamil.
iv.
Imbas Muka
Contoh: Kumar mengandaikan sekiranya Meng Kong mengambil stok baharu telefon
bimbit dari stor ayahnya pasti dia akan memperoleh keuntungan yang lumayan.
v.
Saspens
Contoh: Kehilangan Jamil di
sekolah tidak dapat dijejaki oleh Badri dan rakan-rakannya walaupun telah
bertanya kepada ibu bapa Jamil.
vi.
Kejutan
Contoh: Shahrul
dan rakan-rakannya terkejut apabila Badri tiba-tiba muncul di pondok tempat
mereka berbincang tentang penjualan telefon bimbit.
vii.
Monolog dalaman
Contoh: Shahrul mengucapkan terima kasih kepada Badrul
dalam hatinya.
Watak Utama
i.
Badri
· Anak sulung kepada Mak Siti.
· Mempunyai seorang adik lelaki bernama Badrul.
· Berperawakan kemas dan berwibawa dalam menjalankan
tanggungjwab sebagai seorang pengawas.
· Pengawas sekolah.
· Seorang yang bertanggungjawab.
Contoh: Badri seorang yang
bertanggungjawab kerana telah berjaya menyelesaikan masalah disiplin seperti
penjualan telefon bimbit di sekolah.
· Seorang yang berdisiplin.
Contoh: Dia tidak pernah
melanggar peraturan sekolah sepanjang bergelar pelajar melalui pengetahuan
adiknya.
· Seorang yang menepati masa.
Contoh: pada pukul 6.40 pagi
Badri tidak pernah terlewat menunggu bas awam untuk pergi ke
sekolah.
· Seorang yang setia dalam persahabatan.
Contoh: Badri berkawan baik
dengan Jamil walaupun beliau telah mengetahui bahawa Jamil turut terlibat dalam
kes pejualan telefon bimbit di sekolahnya.
· Seorang yang berani menghadapi cabaran.
Contoh: Badri bersikap berani
menghadapi cabaran dalam menangani masalah murid yang berlagak ala samseng,dan
sengaja melanggar disiplin sekolah.
· Seorang yang rajin mengulang kaji pelajaran.
Contoh: Badri mengajak Siew Mei
dan Taufik membentuk kumpulan belajar.
· Seorang yang berpendirian teguh. Contoh, Badri tidak
menghiraukan tentang usikan rakan-rakannya mengenai hubungannya dengan Nadira
dan Siew Mei.
Watak
Sampingan
i.
Shahrul
· Murid dari kelas 5 Cergas.
· Bersahabat baik dengan Kumar dan Meng Kong.
· Berasal daripada keluarga berada.
· Seorang yang ego.
Contoh: Shahrul tidak selesa tinggal di rumah teres kerana
selama ini dia tinggal di rumah banglo.
· Seorang yang materialistik.
Contoh: Shahrul telah terlibat dalam kegiatan penjualan
telefon bimbit yang dicuri semata-mata untuk memperoleh wang bagi membeli
barangan mewah dan berjenama.
· Seorang yang tidak menepati masa.
Contoh: Shahrul tidak menepati masa dan selalu terlewat
ketika berjanji temu dengan Nadira.
· Seorang yang suka berfoya-foya.
Contoh: Shahrul bercampur gaul dengan kumpulan budak-budak
motor dan melepak di kompleks beli-belah.
· Seorang yang gemar makan makanan barat.
Contoh: Shahrul sering mengunjungi sebuah restoran barat di pusat beli-belah.
· Seorang yang buruk sangka.
Contoh: Shahrul menganggap Badri berlagak menjadi pengawas.
· Seorang yang panas baran.
Contoh: Shahrul mencekak kolar baju Kumar semasa memujuk
Kumar mengikut arahannya untuk menjual telefon bimbit secara ansuran.
· Seorang remaja yang mudah terpikat dengan gadis
cantik.
Contoh: Shahrul berani membawa Nadira keluar
bersiar-siar menaiki motosikal.
ii.
Nadira
· Seorang pelajar perempuan.
· Baru berpindah dari Sekolah Menengah Badrul Shah,
Kedah ke Kuala Lumpur kerana mengikut ayahnya bertugas di sana.
· Merupakan sahabat Badri dan Jamil dalam kelas 5
Bestari.
· Seorang yang tidak tegas pendirian.
Contoh: Nadira mudah dipengaruhi oleh Shahrul bahawa Badri
turut terlibat dalam masalah disiplin seperti membawa telefon bimbit ke sekolah
walaupun sebenarnya Badri telah dianiayai oleh Shahrul.
· Seorang yang mengalami kejutan budaya.
Contoh: Setelah berada di Kuala Lumpur dan berkawan dengan
Shahrul, Nadira memakai jeans ketat dan baju senteng.
· Seorang yang tidak mendengar nasihat.
Contoh: Nadira tidak mendengar nasihat Badri agar tidak
terpengaruh dengan Shahrul yang suka menghabiskan masa dengan aktiviti yang
tidak berfaedah serta boleh menjejaskan masa depannya.
· Seorang yang suka membazirkan masa.
Contoh: Nadira sering membazirkan masa dengan bersiar-siar
menaiki motosikal dan melepak di kompleks beli-belah bersama-sama Shahrul.
· Seorang yang tidak menghormati orang lain.
Contoh: Nadira meninggikan
suara ketika kakaknya, Nurul Ain menegur tentang pakaiannya yang agak terdedah
dan mencolok mata.
iii. Meng
Kong
· Anak kepada Encik Tan, pemilik kedai telefon bimbit.
· Sahabat kepada Badri.
· Seorang anak yang tidak jujur.
Contoh: Meng Kong mencuri kad prabayar dan telefon bimbit
dari kedai ayahnya sendiri lalu dijual kepada murid-murid di sekolahnya.
· Seorang yang mata duitan.
Contoh: Meng Kong sanggup mencuri telefon bimbit di kedai
ayahnya untuk mendapatkan wang sehingga mencecah hampir dua ribu ringgit.
· Seorang yang telah insaf akan kesalahan yang
dilakukan.
Contoh: Setelah bapanya mengetahui perbuatan jahatnya
melalui rakaman CCTV dia memohon maaf daripada ayahnya dan berjanji tidak akan
melakukan kesalahan itu lagi.
· Seorang yang patuh dan taat kepada ibu bapa.
Contoh: Meng Kong sanggup tinggal di asrama sekolah
sepertimana yang diarahkan oleh bapanya.
iv. Cikgu
Jailani
· Guru Matematik dan guru disiplin sekolah.
· Seorang yang tegas.
Contoh: Dia mengambil tindakan
tegas kepada pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin.
· Seorang yang adil.
Contoh: Dia mengarahkan supaya para pengawas mengawasi
kawasan sekitar sekolah secara bergilir-gilir dalam bentuk berpasukan yang
terdiri daripada 3 orang pengawas dalam satu pasukan.
· Seorang yang rasional.
Contoh: Cikgu Jalani menyelidiki kes Badri disimbah air
ketika berada di dalam tandas dan kes telefon bimbit yang dijumpainya di dalam
beg sekolah Badri.
· Seorang yang bertolak ansur.
Contoh: Walaupun Kumar kerap melakukan kesalahan tetapi setelah Kumar memohon
maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya, akhirnya Cikgu Jailani
tidak menggantung persekolahannya.
Latar
Latar
Tempat
i. Tepi tasik
Contoh: Badri berjoging pada waktu pagi.
ii. Pondok kecil
Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong duduk berbincang tentang aktiviti menjual
telefon bimbit dan kad prabayar.
iii. Rumah Badri
Contoh: Ibu Badri iaitu Mak Siti menyediakan sarapan.
iv. Tempat menunggu bas
Contoh: Badri dan Badrul menunggu bas untuk ke sekolah.
v. Blok C bangunan sekolah
Contoh: Tempat Badri bertugas sebagai pengawas sekolah pada hari
yang ditetapkan.
vi. Tandas sekolah
Contoh: Badri disimbah air ketika berada di dalam tandas.
vii. Kelas 5 Bestari
Contoh: Kelas Jamil dan Badri belajar bersama-sama.
viii. Kedai telefon bimbit Encik Tan
Contoh: Tempat Idham, dan Ah Meng bekerja sebagai pembantu kedai.
ix. Stor dan kedai telefon bimbit
Encik Tan
Contoh: Meng Kong mencuri telefon bimbit dan kad prabayar di kedai Encik Tan
iaitu bapanya sendiri.
x. Rumah Pak Alang
Contoh: Badri ke rumah Pak Alang untuk mempelajari ilmu persilatan.
xi. Kompleks beli-belah
Contoh: Tempat kegiatan melepak Shahrul, Kumar dan Meng Kong selepas sesi
persekolahan dan pada hujung minggu.
xii. Resort Jamil
Contoh: Tempat pertemuan semula antara Badri, Jamil dan Taufik selepas
masing-masing berjaya menamatkan pelajarannya di universiti dan berjaya dalam
kerjaya masing-masing.
Latar Masa
Pagi
Contoh: Mak Siti memasak nasi lemak dan sambal sotong
pada waktu pagi untuk sarapan mereka sekeluarga.
Waktu selepas rehat
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas sekolah, telah
dibenarkan makan selepas waktu rehat kerana telah bertugas pada waktu rehat.
Selepas waktu persekolahan
Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong melepak di
kompleks beli-belah selepas waktu persekolahan.
Hari Sabtu
Contoh: Meng Kong telah membuka kedai dan membantu
bapanya berniaga di kedai telefon bimbit bapanya iaitu Encik Tan.
Pukul 4.00 petang
Contoh: Badri telah sampai ke pasar raya untuk menemui
Siew Mei.
Petang
Contoh: Shahrul berkumpul dengan budak-budak motor.
Latar Masyarakat
Masyarakat yang prihatin terhadap anak
Contoh: Encik Tan merelakan Meng Kong tinggal di
asrama supaya Meng Kong lebih berdisiplin dan boleh mengubah perangainya untuk
berjaya dalam peperiksaan.
Masyarakat yang bijak menguruskan masa
Contoh: Badri dan Badrul berada di tempat menunggu bas
seawal pukul 6.40 pagi agar tidak ketinggalan bas.
Masyarakat pelajar yang rajin belajar
Contoh: Badri, Siew Mei dan Taufik bersungguh-sungguh
mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi peperiksaan.
Masyarakat yang bertanggungjawab terhadap tugas
Contoh: Badri sebagai seorang pengawas melakukan
rondaan di kawasan sekolah pada setiap pagi persekolahan.
Masyarakat guru yang tegas dan adil
Contoh: Cikgu Jailani tegas dan adil dalam
menyelesaikan masalah disiplin murid supaya tidak ada murid yang
teraniayai.
vi. Masyarakat pelajar yang terjebak dalam gejala sosial
Contoh: Shahrul, Kumar dan Meng Kong telah terlibat
dalam gejala sosial seperti melepak di kompleks beli-belah, menjual telefon
bimbit yang dicuri dan bercampur dengan budak-budak motor.
Masyarakat yang bekerjasama menyelesaikan masalah
Contoh: Lokman dan Badri bekerjasama untuk mendapatkan
maklumat berkaitan aktiviti Shahrul dan Kumar agar komplot penjualan telefon
bimbit dapat dihapuskan di sekolah.
Masyarakat yang emosional
Contoh: Shahrul cepat melenting apabila ditegur oleh
rakannya-rakannya untuk kembali ke pangkal jalan.
Gaya Bahasa
Personifikasi
Contoh: Ombak memukul pantai
Peribahasa
Contoh: Macam pinang dibelah dua, Biar pecah di perut
jangan pecah di mulut,
Menang jadi arang kalah jadi abu
Pengulangan kata
Contoh: Dia benar-benar
bencikan kau. Dia merasakan kau sabagai batu penghalang kegiatannya. Dia juga
menyatakan dalam hati kecilnya, sebenarnya dia mencemburui kau.
Kata ganda
Contoh: mandi-manda
Simpulan bahasa
Contoh: Buah mulut
Sinkope
Contoh: Kau, Nak
Simile
Contoh: Langkahnya terasa berat seperti sedang memikul beban yang amat besar ,
Antara kau dengan Shahrul macam burung gagak dengan kapal terbang
Hiperbola
Contoh: Seribu penyesalan bertakhta dalam sanubari Badri
Bahasa Asing (bahasa Inggeris)
Contoh: Romeo rupa-rupanya, Understanding daripada kakak,Race
Pengajaran
Kita perlulah tabah menghadapi cabaran untuk
menyelesaikan masalah.
Contoh: Badri tabah menghadapi
cabaran ketika menjalankan tugas sebagai seorang pengawas walaupun telah
disimbah dengan air sehingga dia berjaya menyelesaikan masalah disiplin pelajar
seperti kes penjualan telefon bimbit.
Kita haruslah mempelajari seni mempertahankan diri untuk
menjaga keselamatan diri.
Contoh: Badri dapat mengelakkan
serangan daripada Shahrul secara spontan kerana mempunyai ilmu
persilatan.
Kita hendaklah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan
Contoh: Badri dan Siew
Mei gigih belajar sehingga memperoleh keputusan 9A dalam peperiksaan
Sijil Pelajaran Malaysia.
Kita mestilah tegas dan adil ketika menyelesaikan
sesuatu masalah agar tidak menganiaya orang lain.
Contoh: Cikgu Jailani
menyelidik secara terperinci penemuan telefon bimbit di dalam beg Badri agar
Badri tidak teraniayai kerana beliau percaya bahawa Badri tidak bersalah.
Kita hendaklah berani memberikan maklumat yang benar
untuk mengatasi sesuatu masalah.
Contoh: Siew Mei membantu Badri
memberikan maklumat berkaitan masalah disiplin murid-murid sehingga
terbongkarnya kegiatan penjualan telefon bimbit oleh Shahrul dan Meng Kong.
Kita janganlah terburu-buru ketika membuat
keputusan.
Contoh: Encik Tan terburu-buru
memberhentikan Idham iaitu abang Jamil yang bekerja di kedai telefon bimbitnya
setelah mempercayai akan dakwaan Meng Kong bahawa Idham yang telah mencuri
telefon bimbit di kedainya.
Kita haruslah taat kepada ibu bapa demi kejayaan masa
depan.
Contoh: Meng Kong akur
dengan tindakan bapanya untuk tinggal di asrama sekolah.
Kita hendaklah insaf setelah melakukan sesuatu
kesalahan agar tidak terus-menerus mengalami kesusahan.
Contoh: Shahrul telah sedar dan
insaf akan segala kesalahannya setelah terlibat dalam kemalangan
dan menyebabkan kakinya tempang sebelah.
Kita hendaklah berbincang secara rasional dalam
menyelesaikan sesuatu masalah.
Contoh: Encik Tan telah
berbincang dan bersepakat dengan Cikgu Jailani untuk menempatkan Meng
Kong di asrama sekolah bagi mengatasi masalah tersebut disiplin anaknya.
Nilai
Nilai kasih sayang
Contoh: Demi rasa kasih dan sayang akan anaknya, Encik
Tan sanggup menempatkan anaknya di asrama sekolah agar Meng Kong berubah
sikapnya dan tidak terjebat lagi dengan gejala sosial.
Nilai ketabahan
Contoh: Badri seorang yang
tabah dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang pengawas walaupun
berbagai-berbagai dugaan,cemuhan, ugutan dan tindakan yang dihadapi
olehnya.
Nilai kegigihan
Contoh: Badri gigih berusaha
dan belajar sehingga memperoleh keputusan yang kecemerlangan iaitu 9A dalam
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Nilai bertanggungjawab
Contoh: Mak Siti seorang ibu
yang bertanggungjawab kerana telah memasak nasi lemak dan sambal sotong
untuk sarapan anak-anaknya.
Nilai Prihatin
Contoh: Badri seorang yang amat
prihatin kepada rakannya, beliau tetap meneruskan hasrat untuk menceritakan
perihal Shahrul kepada Nadira walaupun mengetahui bahawa Nadira pasti tidak
akan mempercayainya demi saying akan masa depan Nadira.
Nilai cinta akan seni warisan bangsa
Contoh: Badri mempelajari seni
mempertahankan diri iaitu silat dengan Pak Alangnya dan sentiasa menjaga etika
silat di mana-mana saja dia berada.
Nilai keberanian
Contoh: Badri seorang yang
berani kerana tetap ingin berjumpa dengan seseorang yang tidak pasti hanya
melalui nota kecil yang terdapat di dalam poketnya demi mendapatkan maklumat
dan menyelesaikan masalah sosial rakan-rakan di sekolahnya.
Nilai persahabatan
Contoh: Walaupun Badri, Jamil,
Shahrul, Meng Kong, dan Siew Mei telah ada kehidupan masing-masing namun
ingatan persahabatan tetap kekal di sanubari masing-masing.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan